14 February 2012

On 23:45 by Blog Guru Sekolah Rendah in    No comments
PUTRAJAYA 14 Feb. - Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) optimis hasil kajian penambahbaikan bagi Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dapat diselesaikan lebih awal berbanding tempoh perbincangan ditetapkan iaitu tiga bulan.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, keputusan berkenaan bakal memberi kelegaan kepada 1.3 juta penjawat awam kerana perbincangan kali ketiga bersama Pengerusi pasukan petugas semakan semula SBPA, Tan Sri Ismail Adam dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini berjalan dalam suasana tenang.
”Kita akan mengadakan satu lagi mesyuarat pada 22 Februari nanti dan berdasarkan perbincangan hari ini saya nampak ada jalan penyelesaian sebelum 15 April,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.

Omar berkata, pihak kesatuan berasa lega apabila Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan memberi jaminan untuk memberi pertimbangan khas terhadap lima tuntutan utama yang dikemukakan sebelum ini dalam pertemuan mereka, baru-baru ini.
Lima tuntutan tersebut adalah mengkaji semula pindaan gaji gred 54 ke bawah; mengkaji gaji penjawat awam mencapai gaji maksimum; mengkaji kekananan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum bertukar kepada SBPA; mengkaji kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak penstrukturan semula semua gred penjawat awam.
Omar berkata, perbincangan yang berlangsung tidak terlalu menyulitkan dan pihaknya mendapati ia boleh diselesaikan dengan cara baik tanpa perlu bertegang urat.
"Pada 17 dan 18 Februari ini kami akan menganjurkan bengkel Jawatankuasa Bertindak CUEPACS di Hotel Putra, Kuala Lumpur yang akan turut disertai pegawai gred 54, Persatuan Akademik dan Persatuan Jurutera, kertas kerja yang akan dibentangkan akan menentukan segala-galanya dalam SBPA.
"Kami akan bentangkan kertas kerja yang komprehensif dan ini akan menjadi satu penyelesaian peringkat permulaan selain daripada lima tuntutan itu,'' katanya. - UTUSAN

0 comments:

Post a Comment